Wednesday, June 29, 2011

PENGAJARAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


1. Surah Al-Israa' ayat 1 :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepada-Nya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”

2. Sesungguhnya bagi orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat, mereka menerima peristiwa ini dengan hati yang terbuka dan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah s.w.t. Yang Maha Besar dalam merealisasikan takdir ciptan-Nya.

3. Keagungan peristiwa israk dan mikraj merupakan mukjizat yang tidak ada syak dan ragu yang telah dianugerahkan khusus buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

4. Nabi Muhammad s.a.w. menghadap Allah s.w.t. untuk menerima perintah khusus dan istimewa buat diri dan umatnya iaitu kewajipan menunaikan 5 solat fardhu sehari semalam.

5. Kekuasaan Allah terserlah menerusi peristiwa ini dan ianya menundukkan keingkaran dan kekufuran bangsa arab yang sentiasa membantah dan menolak kebenaran risalah agama yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.aw. agar tunduk dan patuh kepada segala titah perintah Allah s.w.t. dengan penuh keikhlasan dan keimanan.

6. Perjalanan suci Rasulullah s.a.w. ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjid Al-Haram, Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestin dan menghadap Allah s.w.t. di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat 5 waktu secara berhadapan terus dengan Allah s.w.t. tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

7. Pengajaran dan hikmah :

i) Kewajipan memelihara solat, amalan solat lima waktu sehari semalam yang kita patuhi pada hari ini adalah hasil pertemuan Rasulullah s.a.w. dengan Allah s.w.t. melalui beberapa peringkat.

Surah Al-‘Ankabuut ayat 45 :

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya  solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan ingatlah Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

ii) Kemuliaan dan ketinggian peranan masjid, Allah s.w.t. telah memilih masjid  sebagai lokasi untuk Rasulullah s.a.w. melaksanakan israk dan mikraj tersebut.

iii) Kepentingan mensucikan hati.

7. Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah itu ialah hati.”

( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

8. Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan juga menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang.

9. Hati tempat bertapaknya iman, taqwa, sifat mahmudah, niat dan pada masa lain, di sini juga terletak kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.

10. Pastikanlah rezeki yang kita suapkan ke mulut anak-anak dan isteri serta ahli keluarga adalah rezeki yang benar-benar halal dan bebas daripada syubhah.

11. Doa Rasulullah s.a.w. :

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Yang membolak-balikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu.”

( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

12. Surah Al-A'raaf ayat 179 :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) mereka itu seperti binatang ternakan bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.”


Oleh : Ustaz Mohd Sufie bin Haji Karim
Intisari Khutbah Jumaat : 24/6/2011) di Masjid Al-Azim Melaka
Page Facebook : http://www.facebook.com/masjidalazim

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates