Sunday, July 3, 2011

TINGKATKAN IBADAH DI BULAN SYAABAN


Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:
”Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa”
Justeru marilah kita perbanyakkan Syaaban ini dengan ibadah berikut:
 
1. Puasa sunat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
” Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban”  (hadis riwayat Bukhari)
Ia juga  sebagai latihan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Puasa ini dikira sebagai ”warm up” sebelum datangnya Ramadhan  untuk kita menunaikan puasa wajib pula.
 
2. Mengkada puasa wajib
Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada  kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:
”Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal(semasa kedatangan haid)”     (Hadis riwayat Muslim)
Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut.
Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.
 
3. Memperbanyakkan doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi  
Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit”                     (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)
 
Dalam kita membicarakan kelebihan bulan Syaaban, kita jangan melupai satu malam yang paling mustajab berdoa, malam pengampunan dan rahmat iaitu malam Nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
”dari Abi Musa Al asyari dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:Sesungguhnya rahmat Allah SWT datang pada malam nisfu Syaaban, lalu dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yangbermusuhan”          (Hadis riwayat Ibnu Majah)
 
Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apabila kita mengadakan majlis bacaan yaasin sebanyak tiga kali dan memohon doa agar dipanjangkan usia, dijauhkan dari bala dan dimurahkan rezeki.
Kita juga jangan melupai satu sejarah agung yang tercipta pada 15 Syaaban yang memberi implikasi besar hingga hari ini. Allah telah memerintahkan Rasulullah agar mengadap Baitulahilharam di Mekah dalam solat sebagai ganti arah kiblat sebelum ini iaitu Baitul Maqdis.
Sepanjang mengadap kiblat ke Baitul Maqdis, Rasulullah sering mendapat ejekan dari orang yahudi yang mengatakan Rasulullah mengadap ke arah tempat suci mereka  dan orang Islam tiada suatu tempat yang mulia untuk dihadapkan ketika mengerjakan ibadah. Rasulullah SAW sering dicemuh, diperlekeh, lalu baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dibenarkan mengadap ke arah Masjidil Haram yang sememangnya baginda cenderung ke arahnya. Lalu Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 144 yang bermaksud:
”Kerapkali kami melihat engkau(Wahai Muhammad) berulang-ulang mengadap ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap ke arah yang engkau sukai,oleh itu palingkan ke arah Masjidil Haram(tempat letak Kaabah) .
 
Suruhan mengadap ke arah Baitulahilharam sangat dinanti baginda agar kemuliaan Baitulhiharam tetap terpelihara yang menyambung risalah tauhid yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim. Arah kiblat yang satu melambangkan simbol kesatuan umat yang padu dan menjadi pusat tumpuan dan perhimpunan sedunia ketika mengerjakan ibadah haji.
Oleh kerana bulan Syaaban datang hanya sekali dalam setahun, maka ambillah kesempatan untuk meningkatkan amal ibadah dalam usaha memperbaiki diri menuju ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
 
Disediakan oleh:
Bahagian Dakwah, JAIS

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates