Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Setinggi-tinggi kesyukuran buat Tuhan sekalian alam atas kesempatan yang diberikan buat kita semua untuk terus melangkah ke bulan yang mulia,Ramadhan 1432 Hijrah.Moga Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat buat kita dan merupakan titik permulaan untuk kita terus berusaha menjadi hamba yang taat dan tahu erti kewujudan kita di muka bumi ini.
Di kesempatan ini, Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains & Teknologi ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam. Sama-sama kita pertingkatkan ibadah kita dan gunakan ruang dan peluang yang ada semaksima mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melatih diri kita supaya sentiasa terpelihara dari segala maksiat. Ibadah puasa itu sendiri bukan sekadar membawa erti menahan lapar dan dahaga semata-mata. Sebaliknya mendidik kita supaya menahan diri kita dari segala yang boleh mengundang kemurkaan Allah swt. Jadikan kehadiran tetamu istimewa ini sebagai batu loncatan untuk kita semua terus meningkatkan prestasi diri dari sudut ibadah mahupun dalam segala gerak kerja kita sebagai mahasiswa.
Jika diintai kembali sirah perjuangan Islam dalam peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Ini jelas membuktikan bahawa Ramadhan bukan alasan untuk kita bermalas-malasan atau bersikap lemah, sebaliknya bulan untuk membina semangat yang kuat dan mencari peluang-peluang beribadat. Melalui peperangan ini juga boleh diambil pengajaran bahawa keimanan, keyakinan dan kepatuhan pada Allah SWT. mampu mengundang rahmatNya. Pertolongan Allah sentiasa mengiringi hamba-hambaNya yang sentiasa melaksanakan perintahNya dan menjauhi kemungkaran.
Sabar juga sinonim dengan bulan yang mulia ini. Melatih diri agar sabar dengan segala perkara yang di hadapi dan tidak mudah melatah apabila di uji dengan apa jua kesusahan. Menjalani ibadah puasa menuntut kesabaran yang tinggi untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Selain itu,sama-sama kita bersyukur atas segala nikmat kurniaan Yang Maha Esa dan menginsafi diri atas segala kekurangan insan-insan yang kurang bernasib baik berbanding kita.Moga dengan lahirnya kesyukuran dari hati kita akan bertambah keimanan kita pada Allah.
Sempena dengan kedatangan bulan yang mana diturunkan Al-Quran padanya, sama-samalah kita mempertingkatkan amalan kita dengan memperbanyakkan membaca, mendalami serta mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran. Moga segala amalan kita mendapat keredhaanNya walaupun sebesar zarah cuma. Sesungguhnya kitab al-quran itu memberi petunjuk kepada seluruh manusia seperti firman Allah swt:
“Itulah Kitab yang tidak ada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” - [Al-Baqarah:2]
Akhirnya, sama-samalah kita muhasabah diri dan meletakkan matlamat yang jelas tentang apa yang kita ingin capai setelah melalui madrasah Ramadhan ini. Jangan biarkan bulan istimewa ini berlalu pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan positif dalam diri kita semua.
“Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak”.
Ikhlas dari Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains & Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
0 comments:
Post a Comment