Showing posts with label KEBAJIKAN MAHASISWA. Show all posts
Showing posts with label KEBAJIKAN MAHASISWA. Show all posts

Saturday, March 19, 2011

Perkembangan Isu "Shortsem-U2 & U3"



Perkembangan terbaru mengenai U2 & U3;
Dimaklumkan bahawa kesemua pelajar tahun 2 dan 3 FST yang telah mengisi borang permohonan "Pembukaan Kuota Subjek U2 & U3", nama-nama mereka telah diterima untuk dimasukkan ke dalam sistem untuk didaftarkan. Akan tetapi, kesemua nama pelajar tahun 1 yang turut mendaftar tidak dapat diterima oleh pihak PPU berikutan kes mereka tidak kritikal. Tumpuan pembukaan kuota ini lebih berfokus kepada pelajar tahun 2 kerana menitik beratkan aspek kebajikan pelajar dimana mereka akan menjalani Latihan Industri pada tahun 3 nanti justeru,tiada masa yang dapat diperuntukkan untuk melakukan "shortsem". Ditambah pula dengan subjek major tahun 3 yang masih berbaki banyak unit dan kerja-kerja makmal latihan ilmiah yang perlu diselesaikan nanti, permohonan mereka telah diterima.

Seramai 48 orang pelajar yang diterima telah pun mengisi borang rasmi permohonan pendaftaran "kes khas" yang telah disediakan oleh pihak PPU pada hari Rabu yang lepas (16 Mac 2011) di bilik Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Dan Teknologi (PMFST). Nama-nama ini akan didaftarkan oleh pihak PPU dan hanya dapat dilihat di SMPWEB pada hari pertama minggu semester 3 bermula iaitu pada 2 Mei 2011 (Isnin). Bagi subjek U3, kesemua pelajar akan didaftarkan ke kelas "Isu-Isu Ekonomi" manakala bagi subjek U2, pelajar akan dimasukkan ke kelas-kelas sedia ada yang akan ditentukan oleh pihak PPU. Sekiranya terdapat percanggahan jadual waktu berlaku, gugur kursus boleh dilakukan pada minggu pertama semester 3 iaitu ketika minggu gugur kursus dibuka.

Suara Anda, Keutamaan Kami-

Tuesday, March 1, 2011

Perjumpaan MPM FST dengan Timbalan Dekan FST

Walaupun baru seminggu menerima amanah sebagai wakil mahasiswa, namun, pihak Gabungan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (GMFST) komited didalam menjalankan tanggungjawab. Antara langkah awal yang dilakukan dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa UKM umumnya,dan mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (FST) khususnya, satu perjumpaan bersama Timbalan Dekan FST, Prof Dr Shahidan bin Radiman telah berjaya diadakan pada tarikh 28 Februari 2011.

Antara perkara yang sempat dibincangkan adalah isu pengangguran graduan dari FST dan cadangan penyelesaiannya. Isu ini untuk makluman merupakan manifesto yang dibawa oleh saudari Amalina dalam sesi Pemilihan MPP yang lepas. 
 
 

Prof Dr Shahidan ketika mengulas isu ini memuji langkah saudari Amalina yang cakna dengan isu kebajikan rakan-rakan mahasiswa FST. Beliau bagaimanapun memaklumkan sebagai langkah awal, MPM yang dilantik seharusnya menyedarkan rakan-rakan supaya menambah ilmu 'soft-skill' dan tidak bergantung kepada keadaan pasaran kerja untuk menawarkan mereka bekerja. Tetapi Prof Shahidan lebih gemar supaya mahasiswa dari FST ini lebih bersikap kritis mencari peluang-peluang pekerjaan berbanding menunggu peluang kerja datang menggolek.

Untuk perkara kedua, saudari Mardhiah membawakan masalah dan cadangan penambahbaikan prasarana di FST seperti kemudahan bilik kuliyah, lif, surau (terutama bahagian wanita) dan tandas-tandas di sekitar FST. Juga dibangkitkan isu mesin RO water yang sudah ada, tetapi tidak diselenggarakan untuk digunakan. Ini merupakan antara perkara utama yang dilihat perlu diberi perhatian segera oleh pihak pentadbiran. 

Prof Shahidan menjawab ada di antara perkara yang dibangkitkan oleh saudari Mardhiah ini sebenarnya acapkali dibangkitkan oleh wakil pentadbiran FST dalam mesyuarat-mesyuarat pentadbiran di peringkat induk Universiti, tetapi malangnya dipandang sepi. Justeru itu, Prof Shahidan mencadangkan pihak MPM dengan kuasa yang ada membawa perihal permasalahan ini terus ke pentadbiran Universiti dengan melakukan aduan bertulis. Ini akan mengurangkan karenah birokrasi dan dilihat membawa terus suara mahasiswa untuk didengari pihak atasan.

Selain itu dalam pertemuan tersebut turut dibangkitkan hal-hal kebajikan mahasiswa seperti kes-kes kecurian laptop, motorsikal dan wang yang berleluasa selain masalah tempat letak kereta di FST. Prof Shahidan ketika mengulas isu-isu tersebut terutama isu kecurian mencadangkan pihak MPM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (PMFST) mengadakan siri-siri kempen kesedaran khususnya kaedah menjaga barangan milik persendirian daripada dicuri.

-Suara Anda, Keutamaan Kami-

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates