Tuesday, March 1, 2011

Perjumpaan MPM FST dengan Timbalan Dekan FST

Walaupun baru seminggu menerima amanah sebagai wakil mahasiswa, namun, pihak Gabungan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (GMFST) komited didalam menjalankan tanggungjawab. Antara langkah awal yang dilakukan dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa UKM umumnya,dan mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (FST) khususnya, satu perjumpaan bersama Timbalan Dekan FST, Prof Dr Shahidan bin Radiman telah berjaya diadakan pada tarikh 28 Februari 2011.

Antara perkara yang sempat dibincangkan adalah isu pengangguran graduan dari FST dan cadangan penyelesaiannya. Isu ini untuk makluman merupakan manifesto yang dibawa oleh saudari Amalina dalam sesi Pemilihan MPP yang lepas. 
 
 

Prof Dr Shahidan ketika mengulas isu ini memuji langkah saudari Amalina yang cakna dengan isu kebajikan rakan-rakan mahasiswa FST. Beliau bagaimanapun memaklumkan sebagai langkah awal, MPM yang dilantik seharusnya menyedarkan rakan-rakan supaya menambah ilmu 'soft-skill' dan tidak bergantung kepada keadaan pasaran kerja untuk menawarkan mereka bekerja. Tetapi Prof Shahidan lebih gemar supaya mahasiswa dari FST ini lebih bersikap kritis mencari peluang-peluang pekerjaan berbanding menunggu peluang kerja datang menggolek.

Untuk perkara kedua, saudari Mardhiah membawakan masalah dan cadangan penambahbaikan prasarana di FST seperti kemudahan bilik kuliyah, lif, surau (terutama bahagian wanita) dan tandas-tandas di sekitar FST. Juga dibangkitkan isu mesin RO water yang sudah ada, tetapi tidak diselenggarakan untuk digunakan. Ini merupakan antara perkara utama yang dilihat perlu diberi perhatian segera oleh pihak pentadbiran. 

Prof Shahidan menjawab ada di antara perkara yang dibangkitkan oleh saudari Mardhiah ini sebenarnya acapkali dibangkitkan oleh wakil pentadbiran FST dalam mesyuarat-mesyuarat pentadbiran di peringkat induk Universiti, tetapi malangnya dipandang sepi. Justeru itu, Prof Shahidan mencadangkan pihak MPM dengan kuasa yang ada membawa perihal permasalahan ini terus ke pentadbiran Universiti dengan melakukan aduan bertulis. Ini akan mengurangkan karenah birokrasi dan dilihat membawa terus suara mahasiswa untuk didengari pihak atasan.

Selain itu dalam pertemuan tersebut turut dibangkitkan hal-hal kebajikan mahasiswa seperti kes-kes kecurian laptop, motorsikal dan wang yang berleluasa selain masalah tempat letak kereta di FST. Prof Shahidan ketika mengulas isu-isu tersebut terutama isu kecurian mencadangkan pihak MPM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (PMFST) mengadakan siri-siri kempen kesedaran khususnya kaedah menjaga barangan milik persendirian daripada dicuri.

-Suara Anda, Keutamaan Kami-

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates