Tuesday, August 30, 2011

Jadilah mahasiswa yang merdeka!

Hari ini, genaplah sambutan kemerdekaan negara yang ke-54. Sebagai rakyat Malaysia, seharusnya kita berasa bersyukur dengan nikmat keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Pelbagai pencapaian telah berjaya kita kecapi dalam tempoh bermakna ini. Kemajuan teknologi dan budaya juga harus kita banggakan. Namun, sebagai mahasiswa, adalah perlu untuk kita berfikir lebih jauh kehadapan berbanding segala perkara yang menjadi tumpuan masyarakat kala ini.


Dikala masyarakat berbangga dengan kemajuan yang dikecapi, mahasiswa tidak seharusnya terus membiarkan diri dibelenggu keindahan, dan meninggalkan realiti yang menyakitkan. Merdeka, perkataan yang memberi makna mendalam terutamanya kepada generasi sebelum merdeka berbanding generasi pasca merdeka. Mungkin tempoh 54 tahun itu terlalu jauh meninggalkan generasi pasca merdeka hingga sukar untuk mereka merasai kesusahan dan kegetiran kehidupan pada masa tersebut.


Realiti hari ini, 31 Ogos tidak memberi makna yang besar kepada generasi pasca merdeka selain cuti umum. Dengan kesedaran yang nipis itu, maka terjadilah pelbagai gaya dan ragam manusia menyambut ketibaan hari bersejarah ini. Tidak keterlaluan kiranya dikatakan, sambutan kemerdekaan yang disambut generasi Y ini adalah sambutan cuti umum! Maka, tidak hairanlah jika pelbagai perkara aib dilakukan secara terbuka dan beramai-ramai ketika sambutan hari ini dilangsungkan. Mengapa perkara ini berlaku?


Antara faktor penyebab situasi ini berlaku adalah kerana kurangnya kesedaran terhadap sejarah tersebut. Tidak dinafikan, setiap tahun negara menyambut ketibaan hari bersejarah ini,namun usaha penerapan kefahaman terhadap sejarah ini dilihat kurang ditekankan. Sebagai contoh, semasa sambutan setiap tahun, belum pernah diadakan forum atau ceramah yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk menyayangi negara secara realiti, bukan sekadar omongan demi kepentingan politik semata. Selain itu, realiti sambuan hari merdeka selama ini hanyalah bersifat hiburan, dimana hanya menggalakkan rakyat berhibur dan langsung tidak menerapkan rasa cinta negara. Jika difikirkan secara mendalam, mengapa setiap apa-apa sambutan , seperti perkara wajib,konsert, persembahan,tarian dan nyanyia adalah perkara wajib ada? Jawapan realiti yang memeritkan, rakyat ketagih hiburan! Bagaimana tidak,jika sepanjang 24 jam sehari dan 7 hari seminggu rakyat dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan, bermula denga televisyen, internet, majalah-majalah dan sebagainya.


" Sudah seharusnya mahasiswa menyedari hakikat kehidupan kita pada hari ini yang di selimuti hiburan melapau hingga mengancam fitrah kita yang inginkan kebebasan. Kebebasan i=disini bukan lah bermaksud bebas melakukan apa saja, tetapi bebas menjalani kehidupan tanpa keterikatan dengan hal-hal yang merosakkan fitrah dan melanggar syariat kita." MPM Amalina.


Kemerdekaan amatlah wajar untuk kita banggakan kerana kita berjaya melepaskan diri dari belanggu penjajah.Namun kita sering kali terlupa bahawa hakikat kita pada hari ini semakin dijajah, malah lebih teruk, iaitu minda kita dijajah. Jika kehidupan sebelum merdeka,kita dijajah secara fizikal, kehidupan pasca merdeka pula menyaksikan masyarakat semakin terjajah mindanya, dan sekiranya hal ini tidak ditangani dengan serius, maka kebarangkalian untuk kita dijajah secara fizikal juga amatlah tinggi. 


"Semakin ramai yang mengagumi Barat . Saya tidak menolak pencapaian Barat yang terkehadapan dalam kemajuan teknologi dan sains. Namun apa yang dikesalkan adalah apabila masyarakat menerima segala bawaan dari Barat tanpa mengkaji baik buruknya. Sebagai contoh,Kehidupan kebanyakan masyarakat Barat yang bebas tanpa sebarang pegangan menjadi ikutan. Kesudahannya, hiburan diagung-agungkan, keilmuan diketepikan, fikiran tidak dikembangkan. Maka, lahirlah generasi yang mengikut membuta tuli, malas berfikir dan mundur dari segala aspek. Mundur? ya, mundur. Masakan seorang pengikut boleh terkehadapan daripada apa yang diikut. Oleh itu, saya menyeru masyarakat, terutamanya mahasiswa, ayuh, fikirkan sejenak, apakah sebenarnya yang telah kita isi selama kemerdekaan kita 54 tahun ini. Adakah benar kita benar-benar merdeka atau sebenarnya kita semakin menghampiri era penjajahan. Fikirkan, kerana anda adalah agen perubahan." MPM Noraini Jumahir.


Mahasiswa, walau gelarannya dicanangkan di kampus-kampus, namun peranannya tidak seharusnya terhenti setakat dikampus. Mahasiswa harus turun kemedan masyarakat kerana masyarakat amat memandang tinggi golongan ini. Jadilah Mahasiswa yang berjati diri dan berguna untuk masyarakat. Ayuh Mahasiswa, Jadilah mahasiswa yang merdeka, dan merdekakanlah pemikiran masyarakat!

Friday, August 5, 2011

Perutusan Sempena Ramadhan


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Setinggi-tinggi kesyukuran buat Tuhan sekalian alam atas kesempatan yang diberikan buat kita semua untuk terus melangkah ke bulan yang mulia,Ramadhan 1432 Hijrah.Moga Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat buat kita dan merupakan titik permulaan untuk kita terus berusaha menjadi hamba yang taat dan tahu  erti kewujudan kita di muka bumi ini.

Di kesempatan ini, Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains & Teknologi ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam. Sama-sama kita pertingkatkan ibadah kita dan gunakan ruang dan peluang yang ada semaksima mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melatih diri kita supaya sentiasa terpelihara dari segala maksiat. Ibadah puasa itu sendiri bukan sekadar membawa erti menahan lapar dan dahaga semata-mata. Sebaliknya mendidik kita supaya menahan diri kita dari segala yang boleh mengundang kemurkaan Allah swt. Jadikan kehadiran tetamu istimewa ini sebagai batu loncatan untuk kita semua terus meningkatkan prestasi diri dari sudut ibadah mahupun dalam segala gerak kerja kita sebagai mahasiswa.

Jika diintai kembali sirah perjuangan Islam dalam peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Ini jelas membuktikan bahawa Ramadhan bukan alasan untuk kita bermalas-malasan atau bersikap lemah, sebaliknya bulan untuk membina semangat yang kuat dan mencari peluang-peluang beribadat. Melalui peperangan ini juga boleh diambil pengajaran bahawa keimanan, keyakinan dan kepatuhan pada Allah SWT. mampu mengundang rahmatNya. Pertolongan Allah sentiasa mengiringi hamba-hambaNya yang sentiasa melaksanakan perintahNya dan menjauhi kemungkaran.

Sabar juga sinonim dengan bulan yang mulia ini. Melatih diri agar sabar dengan segala perkara yang di hadapi dan tidak mudah melatah apabila di uji dengan apa jua kesusahan. Menjalani ibadah puasa menuntut kesabaran yang tinggi untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Selain itu,sama-sama kita bersyukur atas segala nikmat kurniaan Yang Maha Esa dan menginsafi diri atas segala kekurangan insan-insan yang kurang bernasib baik berbanding kita.Moga dengan lahirnya kesyukuran dari hati kita akan bertambah keimanan kita pada Allah.

Sempena dengan kedatangan bulan yang mana diturunkan Al-Quran padanya, sama-samalah kita mempertingkatkan amalan kita dengan memperbanyakkan membaca, mendalami serta mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran. Moga segala amalan kita mendapat keredhaanNya walaupun sebesar zarah cuma. Sesungguhnya kitab al-quran itu memberi petunjuk kepada seluruh manusia seperti firman Allah swt: 

“Itulah Kitab yang tidak ada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” - [Al-Baqarah:2]

Akhirnya, sama-samalah kita muhasabah diri dan meletakkan matlamat yang jelas tentang apa yang kita ingin capai setelah melalui madrasah Ramadhan ini. Jangan biarkan bulan istimewa ini berlalu pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan positif dalam diri kita semua.
 
“Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak”.

Ikhlas dari Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains & Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, July 3, 2011

TINGKATKAN IBADAH DI BULAN SYAABAN


Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:
”Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa”
Justeru marilah kita perbanyakkan Syaaban ini dengan ibadah berikut:
 
1. Puasa sunat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
” Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban”  (hadis riwayat Bukhari)
Ia juga  sebagai latihan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Puasa ini dikira sebagai ”warm up” sebelum datangnya Ramadhan  untuk kita menunaikan puasa wajib pula.
 
2. Mengkada puasa wajib
Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada  kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:
”Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal(semasa kedatangan haid)”     (Hadis riwayat Muslim)
Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut.
Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.
 
3. Memperbanyakkan doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi  
Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit”                     (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)
 
Dalam kita membicarakan kelebihan bulan Syaaban, kita jangan melupai satu malam yang paling mustajab berdoa, malam pengampunan dan rahmat iaitu malam Nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
”dari Abi Musa Al asyari dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:Sesungguhnya rahmat Allah SWT datang pada malam nisfu Syaaban, lalu dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yangbermusuhan”          (Hadis riwayat Ibnu Majah)
 
Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apabila kita mengadakan majlis bacaan yaasin sebanyak tiga kali dan memohon doa agar dipanjangkan usia, dijauhkan dari bala dan dimurahkan rezeki.
Kita juga jangan melupai satu sejarah agung yang tercipta pada 15 Syaaban yang memberi implikasi besar hingga hari ini. Allah telah memerintahkan Rasulullah agar mengadap Baitulahilharam di Mekah dalam solat sebagai ganti arah kiblat sebelum ini iaitu Baitul Maqdis.
Sepanjang mengadap kiblat ke Baitul Maqdis, Rasulullah sering mendapat ejekan dari orang yahudi yang mengatakan Rasulullah mengadap ke arah tempat suci mereka  dan orang Islam tiada suatu tempat yang mulia untuk dihadapkan ketika mengerjakan ibadah. Rasulullah SAW sering dicemuh, diperlekeh, lalu baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dibenarkan mengadap ke arah Masjidil Haram yang sememangnya baginda cenderung ke arahnya. Lalu Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 144 yang bermaksud:
”Kerapkali kami melihat engkau(Wahai Muhammad) berulang-ulang mengadap ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap ke arah yang engkau sukai,oleh itu palingkan ke arah Masjidil Haram(tempat letak Kaabah) .
 
Suruhan mengadap ke arah Baitulahilharam sangat dinanti baginda agar kemuliaan Baitulhiharam tetap terpelihara yang menyambung risalah tauhid yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim. Arah kiblat yang satu melambangkan simbol kesatuan umat yang padu dan menjadi pusat tumpuan dan perhimpunan sedunia ketika mengerjakan ibadah haji.
Oleh kerana bulan Syaaban datang hanya sekali dalam setahun, maka ambillah kesempatan untuk meningkatkan amal ibadah dalam usaha memperbaiki diri menuju ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
 
Disediakan oleh:
Bahagian Dakwah, JAIS

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates